Sunday, January 18, 2009

Wawasan 2020 !!! Kemana Arahnya?

Berikut tulisan oleh Pengarah Unit Perancang Ekonomi (EPU)...

Isu kebanjiran pekerja asing terus menjadi perhatian. Perdebatan hangat di Parlimen baru-baru ini, khususnya mengenai lambakan buruh asing, memerlukan perhatian yang lebih serius. Berdasarkan data rasmi, kini sekitar 2.1 juta pekerja asing dilaporkan berada di Malaysia. Kalau diambil kira pendatang tanpa izin, jumlah sebenar mungkin jauh lebih besar.

Proses globalisasi yang meningkatkan keterbukaan ekonomi membolehkan aliran keluar-masuk barangan dan perkhidmatan serta modal dengan jumlah yang lebih besar. Nilai dagangan negara merentas RM1 trilion pada tahun 2006. Pada tahun 2007 jumlah pelaburan asing (FDI) mencecah AS$8.4 bilion melebihi tahap tertinggi yang pernah dicatat iaitu AS$7.3 bilion pada tahun 2006. Kita bangga dan gembira dengan kesan globalisasi ini.

Namun, proses globalisasi tidak hanya terhad pada peningkatan aliran dagangan dan modal sahaja. Malah aliran keluar-masuk pekerja asing juga turut sama meningkat. Dalam tempoh 2000-2007, jumlah kemasukan pekerja asing dalam negara meningkat sebanyak 153 peratus daripada 807,000 kepada dua juta orang. Jauh lebih besar daripada peningkatan jumlah dagangan (7.1 peratus) dan FDI (12.1 peratus) dalam tempoh yang sama.

Memang benar, kita perlu lebih terbuka dan melihat ekonomi dunia sebagai peluang yang perlu dimanfaatkan. Namun, keterbukaan ekonomi perlu dilaksanakan secara strategik dan teratur. Globalisasi adalah proses yang perlu dirancang untuk kita manfaatkannya. Sama seperti menanak nasi, ada proses. Beras dan air perlu disukat, tidak kena sukatan dan besar kecil apinya, nasi mungkin menjadi bubur atau pun mentah dan tidak boleh dimakan.

Negara perlu mempunyai strategi yang komprehensif mencakupi aspek-aspek utama keterbukaan ekonomi untuk kita mengharungi dan memanfaatkan proses globalisasi. Pastinya mengundur ke belakang bukan pilihan yang baik. Kita perlu peta perancangan untuk ke hadapan.

Dalam konteks kemasukan pekerja asing, strategi negara tidak jelas. Peningkatan jumlah buruh asing yang begitu mendadak dan kini membanjiri hampir semua sektor ekonomi adalah satu elemen 'krisis modal insan'.

Krisis ekonomi atau politik mudah dilihat dan difahami kesannya. Krisis modal insan lebih diam sifatnya namun kesannya amat besar. Kalau tidak ditangani dengan segera dan bersungguh-sungguh, bukan tahun 2009 atau 2010 yang dirisaukan tetapi hasrat kita untuk merealisasikan Wawasan 2020 mungkin terjejas.

Daya saing ekonomi terkini memerlukan peralihan model pertumbuhan dari pengeluaran (ekonomi-P) ke pengetahuan (ekonomi-K). Pada tahun 1980-an sehingga pertengahan 1990-an, Malaysia menjadi pilihan utama di kalangan pelabur asing yang mencari lokasi untuk aktiviti pengeluaran mereka bersandarkan tawaran menarik negara kita menyediakan kos input yang rendah, tawaran insentif pelaburan yang menarik serta infrastruktur perindustrian yang moden.

Kini cabaran utama kita ialah peralihan dari ekonomi-P ke ekonomi-K. Keupayaan kita merealisasikan Wawasan 2020 untuk menjadi sebuah negara maju amat tertakluk kepada keupayaan kita mengalihkan asas ekonomi ini. Negara-negara yang berada di tahap daya saing yang tinggi amat menyerlah ciri ekonomi-K mereka. Pada era ekonomi-P, kos buruh yang rendah menjadi tawaran. Era ekonomi-K, modal insan yang berpengetahuan, berdaya inovatif dan kreatif menjadi tarikan.

Mampukah kita menyediakan input utama ekonomi-K ini? Dari sudut ekonomi makro, 'kejayaan' negara menarik minat jutaan buruh asing dari serata dunia merupakan satu 'isyarat' pasaran yang asas ekonomi kita masih belum beralih.
Industri dalam negara secara keseluruhan masih bermain dengan cara lama iaitu bersandarkan kos buruh dan pengeluaran yang rendah. Kita mesti menarik pekerja-K bukan buruh asing. Penerima anugerah Nobel Ekonomi 1992, Profesor Gary Becker, yang merupakan 'guru' kepada konsep pekerja-K menyatakan - pekerja-K bekerja lebih dengan minda daripada tangan mereka.

Profesional

Pekerja-K tidak terhad kepada pekerjaan atasan atau profesional sahaja. Untuk Malaysia beralih ke ekonomi-K semua kategori pekerjaan perlu berubah. Dalam ekonomi-K, pekerja binaan, perkhidmatan pengangkutan sampah, perkhidmatan pembersihan bangunan, pekerja ladang, perkhidmatan restoran, semuanya perlu mengaplikasikan teknologi moden.

Nilai pekerja-K adalah berasaskan kualiti pengetahuan, daya inovasi dan kemampuan mengaplikasikan teknologi moden. Bagaimana kita menilai sumbangan buruh asing? Minda atau tulang empat kerat mereka? Di samping berusaha menghasilkan modal insan tempatan yang berkualiti, kita seharusnya memanfaatkan proses globalisasi dengan berusaha menarik minat pekerja-K global untuk datang ke Malaysia. Sebaliknya Malaysia kini adalah pengimport bersih buruh asing. Malah yang lebih merisaukan ialah, semakin besar lambakan buruh asing semakin kurang keinginan pekerja-K global untuk memilih Malaysia.

Lambakan buruh asing mengepung ekonomi kita daripada pekerja-K global. Perekonomian ekonomi-K mempunyai ciri yang unik. Modal insan, input utama ekonomi-K mempunyai sifat endogenous. Ia semakin berkualiti dan bernilai apabila diaplikasikan secara intensif dan apabila ia berada dalam kelompok yang sama dalam skala yang besar.
Pekerja-K umpama semut yang mencari gula. Semakin banyak gulanya semakin banyak semut yang mengerumuninya. Lambakan buruh asing mengurangkan manis gula. Semakin ramai yang masuk semakin kuranglah daya tarikan Malaysia untuk menarik minat pekerja-K global. Aliran masuk pekerja asing adalah sebahagian daripada proses globalisasi. Ia memanfaatkan sekiranya pekerja-K yang masuk ke Malaysia bukan buruh asing.

Dalam kategori profesional, ketiadaan pekerja-K dalam skala yang besar juga menjejaskan nilai dan ganjaran untuk pekerja-K sedia ada. Nilai seorang pakar IT di Myanmar jauh lebih rendah daripada nilainya di Lembah Silikon. Nilai angkasawan pertama negara mungkin jauh lebih tinggi sekiranya beliau berada di Pentadbiran Angkasa Lepas dan Aeronautik (NASA) dan bukannya Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI).

Aliran keluar profesional Malaysia ke negara lain semakin meningkat. Pada tahun 2007 dianggarkan seramai 785,000 pekerja mahir Malaysia berkhidmat di luar negara. Dari satu sudut, ada yang berpandangan bahawa ini hanyalah perihal individu yang ingin mendapatkan gaji yang lebih lumayan. Hakikatnya masalah tirisan minda (brain drain) ini adalah satu lagi petunjuk makro bahawa ekonomi negara tidak mampu meletakkan nilai yang sewajarnya pada seorang pekerja-K profesional.

Memang kita bangga apabila pekerja Malaysia khususnya yang dihasilkan oleh sistem pendidikan negara diiktiraf di peringkat antarabangsa. Persoalannya, mengapa pengiktirafan ini lebih cenderung berlaku apabila golongan profesional ini meninggalkan Malaysia dan berada di luar negara? Aliran keluar pekerja-K profesional yang dihasilkan oleh Malaysia tidak sama seperti kita mengeksport barangan buatan Malaysia. Kita sebenarnya rugi. Kita kehilangan input utama ekonomi-K, modal insan yang berkualiti.

Lazimnya perbincangan mengenai modal insan banyak tertumpu pada faktor penawaran (supply-side) yang melibatkan antara lainnya kualiti sistem pendidikan (sekolah, institusi pengajian tinggi dan latihan). Memang wajar. Namun ini sahaja tidak mencukupi. Lambakan buruh asing dan fenomena brain drain mencerminkan kegagalan faktor permintaan. Kelemahan penawaran dan permintaan pekerja-K perlu ditangani secara serentak bagi mengekang 'krisis modal insan' ini daripada menjadi lebih mudarat.

Jumlah buruh asing tiada hadnya. Berjuta masih ada di rantau Asia Tenggara. Malaysia perlu mengelak daripada menjadi pengimport bersih buruh asing. Peralihan ke ekonomi-K memerlukan aktiviti firma (asing dan tempatan) dalam negara beralih ke peringkat rantaian yang lebih tinggi yang mengaplikasikan pengetahuan secara intensif. Inilah Teras 1 Misi Nasional yang digariskan dalam Rancangan malaysia Kesembilan (RMK-9).
Merangsang

Polisi yang lebih berkesan perlu dibentuk bagi merangsang firma untuk berubah. Insentif dan penalti wajar diperkenalkan. Sebagai contoh, perkhidmatan pengangkut sampah yang menggunakan lori pengangkut berteknologi moden wajar diberi insentif. Sebaliknya perkhidmatan yang menggajikan ramai buruh asing dan menggunakan lori biasa yang mengotorkan perlu dihentikan atau dikenakan penalti.

Kelulusan membawa buruh asing masuk ke dalam negara perlu lebih selektif hanya untuk sektor yang benar-benar memerlukan. Penjadualan pengurangan buruh asing secara berperingkat yang diumumkan tidak akan tercapai sekiranya industri kita tidak berganjak ke rantaian pengeluaran yang lebih tinggi.


Wawasan 2020 untuk Malaysia menjadi negara maju tergugat sekiranya Teras 1 Misi Nasional tidak dicapai. Ia semakin parah sekiranya Teras 2 Misi Nasional yang menekankan kewujudan modal insan yang berkualiti, berdaya inovatif dan kreatif serta beretika juga tergendala. Kedua-dua teras Misi Nasional ini mesti di tangani serentak. Ia saling bergantung.

Untuk menjadi sebuah negara maju yang berpendapatan tinggi (Wawasan 2020) polisi pendapatan rendah/pertengahan yang cenderung kepada menjadi 'murah' perlu berubah ke polisi pendapatan tinggi yang mengutamakan 'nilai'. Kemasukan buruh asing dan kesan keseluruhannya perlu dikaji dengan lebih teliti. Kebanjiran buruh asing berkemungkinan menjadikan kos buruh murah. Namun jangan sampai ia membuai kita di siang hari terlena sehingga ufuk Januari 1, 2020 menjelma.

- Prof. Datuk Dr. Noor Azlan Ghazali ialah Pengarah Malaysian Development Insitute (MDI) Unit Perancang Ekonomi (EPU).

3 comments:

  1. salam...

    thanks for following my blog...
    nice to meet u here..

    salam kenal..
    stay well
    keer in touch..

    ReplyDelete
  2. em. satu entry yang menarik dibaca pagi ari

    ReplyDelete
  3. banyak isi untuk wat debate...pas cuti skola ni ade pertandingan debate tajuk kemasukan pkerja asing wajar dihentikan..thanx banyak isi...minta kebenaran untuk gunekan isi2 ye....>mira

    ReplyDelete

Korang tulis apa2 comment pun...tapi jangan mare ye kalau tetiba jer komen tu tak dipublish kan...Mungkin ada unsur2 fitnah, kutukan dan sewaktu dengannya..Di sini bukan tempatnya...Disini tempat nak bertukar2 pengalaman dan merapatkan hubungan kawan2. Harap maklum...Selamat berblogger...!!!!